Bismillahirahmanirahim...
Assalamualaikumwarahmatullah..
Tersentuh pula saya dengan penulisan Fatimah Syarha yg dikongsi oleh seorang sahabat tercinta ^^
Moge bermanfaat utk semua.
----------------------------------
Tudung Labuh
- Pengalaman menarik Fatimah Syarha menerusi kolum Remaja Majalah Solusi isu no
21.
Semoga bacaan ini dapat "put things into perspective" buat kita dalam
menilai dan memahami kewajipan menutup aurat sebagaimana yang dituntut agama,
insyaAllah.
Corat-Coret Kisah Tudung Labuh…
“Akak, kenapa akak pakai tudung labuh?” Soalan ini sudah banyak kali
dilontarkan oleh remaja kepadaku. Adik bongsuku, Asiah Yusra yang sedang mekar
meniti usia remaja, turut bertanya. Melihat wajahnya yang saling tidak tumpah
dengan iras wajahku, aku terasa bagaikan sedang melihat diriku sendiri. Aku
pernah remaja dan terpesona melihat kakak sulung bertudung labuh. Kufahami,
remaja bertanya kerana mereka sedang tercari-cari identiti diri.
Kali pertama aku memilihnya sebagai imej diri ketika usiaku remaja. Saat itu,
aku bertudung labuh kerana keindahannya menghiasi wanita-wanita berakhlak mulia
yang kukenali. Ibuku, kakakku, kakak-kakak naqibahku, ustazah-ustazahku
semuanya bertudung labuh. Hingga aku mensinonimkan tudung labuh itu dengan
keindahan, keperibadian dan kebaikan. Walaupun aku turut mengenali teman-teman bertudung
labuh yang akhlaknya bermasalah namun aku masih menemui keindahan jiwanya,
ingin menjadi lebih baik. Hari ini, aku memilih tudung labuh kerana aku yakin
ia lebih istimewa pada pandangan-Nya.
Ketika remaja, aku hampir tidak sedar banyak pertanyaan yang terpendam. Mungkin
saat itu aku tidak tahu apa yang aku perlu tahu. Hinggalah persoalanku terjawab
satu demi satu. Hikmah bicara kakak-kakak naqibahku menerangkan pelbagai soalan
yang kutagihkan pengertian. Yang paling kuingati, Kak Siti Aisyah Mohd Nor
(kini merupakan bidadari kepada seorang tokoh agama terkenal). Jasa kalian
selamanya harum dalam ingatan.
Yang Tertutup Itu Indah
Ketika kubertanya tentang tudung labuh, mudah jawapan yang pernah kuterima,
“Yang tertutup itu indah!” Jawapan yang membawaku mengkaji surah al-Ahzab ayat
59, maksud dan tafsirannya.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakan kepada
isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin,
‘hendaklah mereka melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu
supaya mereka mudah dikenali sebagai wanita baik agar mereka tidak diganggu.’”
Ya, sedangkan buku yang kita sayangi, kita sampulkan seindahnya. Inikan pula
bentuk tubuh wanita, takkan tiada sampulnya? Kuperhatikan kulit bukuku yang bersampul
lebih terjaga berbanding kulit bukuku yang tidak bersampul. Kuperhatikan
langsir yang cantik menghias pintu dan tingkap. Kuperhatikan kain yang mengalas
meja dan perabot. Benar, yang tertutup itu indah! Begitu juga cara Allah
menghargai keindahan wanita dengan menggariskan perbatasan aurat. Agar
keindahan itu hanya dinikmati oleh insan yang berhak. Bukannya diratah-ratah
oleh pandangan yang sakit.
Istimewa Bertudung Labuh
Di sini, aku tidak mahu berbicara panjang tentang kewajipan menutup aurat. Apa
yang ingin kukongsi di sini adalah tentang beberapa peristiwa dalam hidupku
yang membuatkan aku berasa tudung labuh itu benar-benar istimewa. Allah banyak
kali menyelamatkan dan memudahkan urusanku dengan asbab tudung labuh.
Dikejar Tebuan Tanah
Dalam satu program motivasi remaja, aku menyertainya sebagai salah seorang
fasilitator. Antara aktiviti yang dilakukan ialah jungle trekking. Aku
mengetuai barisan remaja puteri yang siap sedia memasuki hutan. Taklimat dan
doa dimulakan.
Menderap ke tengah belantara, tiba-tiba peserta puteri paling depan terlanggar
sarang tebuan tanah. Tebuan tanah berterbangan garang. Sedia menyerang. Peserta
itu menjerit kesakitan kerana disengat. Peserta di belakangnya turut menjerit
ketakutan. Aku yang turut berada di barisan depan ketika itu melaungkan takbir.
Lantas mengarahkan peserta yang lain berundur. Mereka bertempiaran lari.
Sementara aku tetap bertahan di situ. Kututup sebahagian wajahku dengan tudung
labuhku. Tangan turut kusembunyikan di bawah tudung labuh. Kulindungi beberapa
peserta yang terkepung dengan tudung labuhku agar tidak disengat lagi. Segera
kubawa mereka berundur. Ajaibnya, seekor tebuan pun tidak berjaya menyengatku.
Subhanallah! Maha Suci Engkau yang menyelamatkan aku dengan secebis kain buruk
ini.
Terlindung daripada Mata Mat Rempit
Suatu hari, aku ingin pulang ke kampusku di UIA setelah bercuti pertengahan
semester di kampung halaman. Seperti biasa, aku membeli tiket bas dan berusaha
mencari bas yang mempunyai tempat duduk seorang. Request. Ini penting bagi
mengelakkan aku terpaksa bermalam di dalam bas dengan bertemankan seorang
lelaki asing di sebelah.
Akhirnya kumembeli tiket dengan sebuah syarikat bas yang belum pernah kunaiki .
Sebelum menaiki bas, aku berpesan kepada pemandu kedua agar menurunkan aku di
Greenwood. Semua mata terlena melepaskan kelelahan hidup dengan mengembara ke
alam mimpi yang seketika. Kedengaran sayup-sayup suara pemandu bas mengejutkan
aku dari tidurku. Lantas aku terjaga separuh sedar. Ketika itu, aku duduk di
kerusi seorang paling depan, tidak jauh dari pemandu.
Jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Badanku amat penat dan urat kepala terasa
merenyuk. Aku bangkit dari kerusiku dalam keadaan mamai menuruni bas. Ketika
berada di luar bas, aku masih sangat mengantuk. Terasa secepat kilat bas
meninggalkanku.
Ya Allah! Aku terkejut kerana hanya aku seorang yang menuruni bas. Lagipun,
tempat bas itu memberhentikan aku bukannya tempat perhentian bas di Greenwood
seperti kebiasaan. Aku langsung tidak mengenali tempat itu. Tiada peluang
untukku bertanya atau membatalkan saja tempat perhentian itu. Nyata aku sudah
terlewat. Asap bas pun sudah tidak kelihatan.
Aku berada di sebuah perhentian bas. Jalan raya di hadapannya lurus. Lengang.
Sunyi. Kawasan sekitarnya adalah kawasan perumahan yang sedang bergelap.
Jalur-jalur cahaya hanya sedikit. Kupandang ke belakang dan mendapati tidak
jauh dari situ terdapat sebuah masjid. Namun, ia kelihatan gelap. Sunyi.
Kelihatan seekor anjing berwarna hitam, besar dan garang sedang berlegar-legar
di luar pagar masjid. Ya Allah, pada-Mu aku bertawakal.
Aku segera menelefon kenalan rapatku, Puan Norliza Mohd Nordin untuk
mengambilku. Pada masa yang sama, mataku melilau mencari kayu atau besi yang
akan kugunakan sebagai senjata seandainya anjing itu mendekatiku.
“Di mana?” Tanya Puan Norliza. Susah-payah aku cuba menerangkan lokasi yang
asing itu. Tambahan pula, aku tidak dapat melihat papan tanda yang menunjukkan
nama masjid. Kehadiran anjing itu membuatkan aku tidak berani menghampiri
masjid. Sukar Puan Norliza mentafsirkan lokasi aku berada.
Tiba-tiba, sekumpulan samseng jalanan dengan pelbagai aksi motosikal yang
berbahaya berhenti beramai-ramai di seberang jalan tempatku berada. Bagaikan
ada mesyuarat penting di situ. Aku tiada tempat bersembunyi. Apa yang mampu
kulakukan adalah tetap berdiri di tempatku dan membaca segala ayat al-Quran
yang pernah kuhafal. Tawakalku memanjat langit dunia. Kebetulan, aku berjubah
hitam dan bertudung labuh warna hitam. Aku menggunakan kesempatan itu untuk menyembunyikan
diriku di balik warna malam. Cebisan kain turut kututup pada wajahku yang
berkulit cerah.
Saat yang amat mendebarkan dalam hidupku, kelihatan anjing yang garang sedang
berlari ke arahku. Kupujuk hati, anjing itu akan baik padaku kerana ia tidak menyalak.
Samseng jalanan pula seakan sedang memandang-mandang ke arah lokasiku. Ketika
itu, aku mengucapkan dua kalimah syahadah berkali-kali. Aku siapkan emosi untuk
berjihad mempertahankan diri. Biar nyawa jadi taruhan, menyerah tidak sekali!
Allah menjadi saksi. Aku bagaikan tidak percaya apabila melihat anjing itu
sekadar melintasiku seolah-olah langsung tidak melihatku di balik kegelapan.
Walau bagaimanapun, aku masih resah melihat samseng jalanan asyik memandang ke
arahku. Aku bertambah risau membayangkan Puan Norliza mungkin tidak dapat
mengagak lokasiku itu kerana dia asyik menelefonku. Tiba-tiba samseng jalanan
itu beredar. Bunyi ekzos mengaum pergi, pelbagai aksi. Mereka seakan-akan
memandang dengan pandangan yang kosong sahaja ke arahku sebentar tadi. Puan
Norliza pula sampai, menambahkan syukurku. Hatiku yakin, Allah telah
menyelamatkanku di balik tudung labuh berwarna gelap itu. Alhamdulillah!
Menyelamatkan Beg Tanganku daripada Ragut
Seorang temanku dari Brunei sudah beberapa hari tidak datang ke kelas sarjana.
Aku risaukan keadaannya. Apabila dia datang kembali, aku segera bertanya. Dia
menunjukkan pipinya yang calar sambil bercerita dengan juraian air mata.
Dua orang pemuda yang menunggang laju meragut beg tangannya. Dia ikut terseret.
Ketika itu pula dia sedang mengandung dua bulan. Hampir-hampir keguguran.
Kedua-dua lututnya terluka. Pipi dan tangannya tercalar. Berdarah.
Aku sedih mendengar ceritanya. Dia memegang hujung tudungku sambil
menyimpulkan, “Jika akak pakai tudung labuh macam ni, tentu diorang tak nampak
beg tangan akak.” Kata-kata itu membuatkanku benar-benar berfikir jauh. Aku
bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana tidak pernah menjadi mangsa ragut. Baru
aku sedar, rupa-rupanya antara faktor yang menyelamatkanku adalah kerana beg
tanganku sentiasa tersembunyi di bawah tudung labuh. Cuba anda bertanya
kawan-kawan anda yang menggalas beg tangan di bawah tudung labuh, pernahkah
mereka menjadi mangsa ragut?
Mendekatkan Jodoh dengan Lelaki Soleh
Aku hairan melihat beberapa orang temanku yang mulanya bertudung labuh tapi
akhirnya menukar penampilan kerana takut tidak dipinang. Aku hormati
penampilannya selagi masih menutup aurat namun jika itu alasannya, dia mungkin
tersilap. Aku yang tetap bertudung labuh ini juga akhirnya yang agak cepat
menerima pinangan.
Suamiku mengakui antara faktor yang meyakinkannya pada agamaku saat memilih
bunga untuk disunting adalah kerana nilai tudung labuhku. Wanita bertudung
labuh lumrahnya hanya berani dirisik oleh lelaki yang mempunyai persiapan agama.
Jika malas hidup beragama, mereka akan berfikir beribu kali untuk memiliki
seorang suri yang bertudung labuh. Rasa tidak layak. Rasa perlu membaiki diri
terlebih dahulu.
Pernah juga aku dan suami cuba memadankan beberapa orang temanku dengan
lelaki-lelaki soleh yang kami kenali. Apabila biodata bertukar tangan, gadis
bertudung labuh rupa-rupanya menjadi kriteria penting seorang lelaki soleh.
Malang bagi temanku yang sebenarnya baik dan berbudi bahasa, namun kerana
penampilannya itu melambatkan jodohnya.
Benar, kita tidak boleh menilai seseorang hanya melihat luarannya. Namun,
realitinya, kadang kala masa terlalu singkat dan peluang tidak ada untuk kita
mengkaji dalaman seseorang sehingga terpaksa menilainya hanya melalui
luarannya. Contoh realiti, jika kita ingin membeli nasi lemak di gerai.
Kelihatan penjual di gerai yang pertama ialah seorang makcik bertudung labuh.
Penjual di gerai kedua pula seorang wanita tidak bertudung dan rambutnya
menggerbang lepas. Mana yang kita pilih? Kenapa cepat membuat pilihan sebelum
mengkaji dalaman kedua-duanya dahulu? Apa nilaian kita ketika itu?
Fikir-fikirkan.
Hormatilah Selagi Masih Menutup Aurat
Ya! Ya! Ya! Kudengari suara-suara hatimu yang sedang berbisik, “Ramai saja yang
bertudung labuh tapi tak baik.” “Tudung tak labuh pun masih tutup aurat.”
“Don’t judge people by its cover.” Kuhormati semua kata-kata ini sepertimana
kuhormati dirimu yang masih bertudung. Alhamdulillah. Aku cuma berkongsi
secebis pengalaman dalam hidupku yang menyebabkan kurasakan tudung labuh
terlalu istimewa. Buat adik-adik remaja yang pernah bertanya, akak harap adik
menemui jawapannya.
------------------
Dan aku masih berusaha ke arah 'solehah'
Dan aku mahu berusaha ke arah itu. T_T